Asbabun Nuzul Surah An-Nuur (1)
21JANx
Surah an Nuur
"Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. " (Surah an Nuur: 24: 3)
x
x
Surah An-Nuur - سورة النور
[24:3] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
(An-Nuur 24:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 350 - ٣٥٠
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Ummu Mahzul seorang wanita penzina akan dikahwini oleh seorang sahabat Nabi. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 3) sebagai penjelasan bahawa seorang wanita penzina haram untuk dikahwini kecuali oleh penzina juga atau musyrik. (Diriwayakan oleh an Nasa'i dari Abdullah bin Umar)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Mazid mengangkut barang dagangannya dari Ambar ke Mekah untuk dijual di sana. Pada ketika itu dia bertemu kembali dengan kawannya seorang wanita yang bernama Anaq seorang wanita penzina. Kemudian Mazid meminta izin kepada Nabi untuk mengahwininya. Selepas itu turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 3) lalu Rasulullah bersabda: "HaI Mazid! Seorang penzina tidak akan dikahwini kecuali oleh penzina juga. Oleh kerana itu janganlah engkau bernikah dengannya. " (Diriwayatkan oleh Abu Daud, at Tirmizi, an Nasa'I dan al Hakim dari Hadis Amr bin Syuaib dari bapanya dari datuknya)
Dalam riwayat lain pula ada dikemukakan bahawa ketika Allah mengharamkan zina, terdapat wanita-wanita penzina yang cantik rupa parasnya di kalangan mereka. Kemudian berkatalah orang-orang pada ketika itu: "Jangan dibiarkan mereka pergi dan biarkan mereka kahwin. "
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 3) sebagai penjelasan bahawa wanita penzina hanya boleh dikahwini oleh penzina juga atau musyrik. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Mujahid)
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah an Nuur: 24: 4)
"Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. " (Surah an Nuur: 24: 6)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Hilal bin Umayyah mengadu kepada Rasulullah bahawa isterinya berzina. Nabi s.a.w. meminta bukti, jika tidak dia akan disebat. Kemudian Hilal berkata: " Ya Rasulullah! Sekiranya salah seorang dari kami melihat seorang lelaki bersama isterinya, apakah dia mesti mencari saksi terlebih dahulu?" Nabi s.a.w. tetap meminta bukti atau dia sendiri akan disebat. Kemudian Hilal berkata lagi: "Demi Allah! Zat yang mengutus engkau dengan hak, sesungguhnya aku adalah orang yang benar dan mudah-mudahan Allah menurunkan sesuatu yang menghindarkan dari hukuman sebaf." Maka turunlah Jibril membawa ayat ini (Surah an Nuur: 24: 6) sebagai petunjuk bagaimana seharusnya menyelesaikan masalah seperti ini. (Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ikrimah dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini (Surah an Nuur: 24: 6) sehingga "syahadatan abada" berkatalah Saad bin Ubadah seorang pemimpin kaum Ansar: "Apakah demikian lafaz itu ya Rasulullah." Maka Rasulullah bersabda: "Hai kaum Ansar! Tidakkah kalian semua mendengar ucapan pemimpinmu itu?"
Kemudian kaum Ansar berkata: "Ya Rasulullah! Janganlah tuan mencelanya, Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat cemburu. Demi Allah, disebabkan cemburunya itu, tidak ada seorang pun yang berani mengahwini wanita yang disukai Saad."
Berkatalah Saad: "Ya Rasulullah sesungguhnya aku tahu bahawa ayat ini adalah hak dan ayat ini dari Allah. Akan tetapi aku merasa aneh apabila aku melihat wanita jahat yang berzina dengan seorang lelaki dan aku tidak boleh memisahkan atau mengusiknya sebelum aku membawa empat orang saksi. Demi Allah, aku tidak akan mendatangkan empat orang saksi sebelum mereka selesai memuaskan nafsu."
Beberapa hari kemudian terjadi satu peristiwa yang dialami oleh Hilal bin Umayyah. Dia adalah salah seorang di antara tiga orang yang diampuni Allah kerana tidak turut serta dalam perang Tabuk. Dia mengadu kepada Rasulullah tentang kejadian yang dialaminya pada malam hari ketika dia pulang dari kebunnya. Dia melihat dengan matanya sendiridan mendengar dengan telinganya sendiri bahawa isterinya sedang ditiduri oleh seorang lelaki. Akan tetapi dia dapat menahan dirinya sebelum membuat aduan kepada Rasulullah. Pengaduan Hilal itu menyebabkan Rasulullah tidak merasa senang bahkan menyulitkan.
Kemudian Kaum Ansar berkumpul membicarakan peristiwa Hilal itu. Mereka berkata: "Kita diuji dengan apa yang dikatakan oleh Saad bin Ubadah dan sekarang Rasulullah membatalkan kesaksian Hilal dan dia dikenakan hukuman sebatan."
Berkatalah Hilal: "Demi Allah! Sesungguhnya aku mengharapkan jalan keluar bagiku. "Kaum Ansar berkata: "Pasti Rasulullah akan memerintahkan menghukum Hilal."
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 6) sehingga mereka menangguhkan hukuman terhadap Hilal itu. Ayat ini menjelaskan bahawa pengaduan seorang suami yang menuduh isterinya berzina boleh diterima apabila dia bersumpah empat kali. (Diriwayatkan oleh Ahmad) (Diriwayatkan pula oleh Abu Yala dari Anas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Uwaimir datang kepada Ashim bin Adi sambil meminta bantuannya: "Tolong tanyakan kepada Rasulullah, bagaimana pendapatnya jika seorang suami mendapati isterinya ditiduri oleh lelaki lain. Apakah dia boleh membunuhnya, kemudian si pembunuh itu dihukum bunuh atau hukuman apa yang harus dikenakan kepada penzina tadi? Kemudian Ashim bertanya kepada Rasulullah mengenai perkara tersebut. Akan tetapi Rasulullah mencela pertanyaan itu.
Ketika bertemu kembali dengan Uwaimir dia berkata sesungguhnya masalah yang dikemukakan itu tidak memberi kebaikan kepadanya malah dicela oleh Rasulullah. Kemudian Uwaimir berkata: Aku akan datang sendiri untuk bertanya kepada Rasulullah." Bersabdalah Rasulullah: "Sesungguhnya telah turun ayat (Surah an Nuur: 24:6) berkenaan denganmu dan isterimu." (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dan yang lain dari Sahl bin Saad)
KETERANGAN
Daripada hadis ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pertanyaan Uwaimir itu dijawab oleh Rasulullah dengan mengemukakan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 6) iaitu berhati-hati dalam menuduh isteri berzina dengan lelaki lain.
Di dalam kitab Tafsir at Thabari juz 18, hal. 85, ada dikemukakan hadis lain yang diriwayatkan dari Sahl bin Saad seperti berikut:
Seorang lelaki Ansar datang mengadap Nabi dan bertanya: "Bagaimanakah pendapat Tuan apabila seorang suami mendapati isterinya bersama dengan lelaki lain. Apakah dia harus dibunuh dan si suami itu dihukum bunuh kerana membunuh lelaki itu? Atau apakah yang harus dilakukan?" Maka turunlah ayat (Surah an Nuur: 24: 6-9) berhubung dengan kejadian ini.
Seterusnya di dalam hadis ini ada dikemukakan bahawa Rasulullah bersabda kepada lelaki itu: "Allah telah menetapkan hukum terhadapmu dan isterimu, bersumpahlah kalian di hadapanku!" Kemudian Rasulullah menceraikan (fasakh) kedua suami isteri tersebut.
Pada waktu itu kebetulan isterinya hamil, akan tetapi suaminya tadi tidak mengakui anak itu, sehingga kemudian anak itu dinasabkan kepada ibunya bahkan masalah warisan harta pusaka pun terputus dariayahnya.
Al Hafiz Ibnu Hajar berkata: "Sesungguhnya para imam ikhtilaf di dalam soal ini. Di antaranya ada yang menjelaskan bahawa ayat ini (Surah an Nuur: 24: 6) turun berkenaan dengan Uwaimir dan ada lagi yang menjelaskan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Hilal dan ada di antaranya pula yang mengatakan bahawa kedua peristiwa tersebut adalah sebagai sebab turunnya ayat ini. "Pendirian yang ketiga ini ada dikemukakan oleh Imam Nawawi yang juga diikuti oleh al Khatib.
Kemudian al Hafiz Ibnu Hajar berkata bahawa ayat ini turun berkenaan dengan kisah Hilal dan ketika Uwaimir datang mengadap Rasulullah dia tidak mengetahui peristiwa Hilal sehingga Nabi memberikan kisah Hilal dengan ketetapan hukumnya. Oleh kerana itu, riwayat yang mengisahkan Hilal disebut dengan "Maka turunlah Jibril" manakala di dalan kisah Uwaimir di sebutkan: "Allah telah menurunkan berkenaan denganmu."
Ibnu Hajar memberi erti: "Allah menurunkan ayat berkenaan denganmu" ialah "Allah telah menurunkan ayat berkenaan dengan peristiwa Hilal" sesuai dengan peristiwa Uwaimir.
Oleh itu, dengan dalil seperti di atas inilah Ibnu Shabbagh mengemukakan pendapatnya di dalam kitab as Syamil. Menurut pendapat al Qurtubi pula ayat ini mungkin turun dua kali.
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Bakar: "Apakah yang engkau akan lakukan sekiranya engkau melihat seorang lelaki tidur bersama Ummu Ruman isterimu?" Abu Bakar menjawab: "Tentu aku akan mengajarnya." Kemudian Rasulullah mengajukan soalan yang sama kepada Umar. Umar menjawab: "Aku akan meminta kepada Allah untuk melaknat orang jahat yang tidak mampu menahan hawa nafsunya." Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 6) sebagai ketentuan akan hukumnya. (Diriwayatkan oleh al Bazzardari Zaid bin Mu'thi dari Huzaifah)
KETERANGAN
Menurut pendapat Ibnu Hajar tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya ayat ini turun dengan pelbagai sebabnya.
Surah an Nuur : 11. Sesungguhnya orang-orang Yang membawa berita Yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita Yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan Dengan kesalahan Yang dilakukannya itu, dan orang Yang mengambil bahagian besar Dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa Yang besar (di dunia dan di Akhirat).
Surah an Nuur : 12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta Yang nyata".
Surah an Nuur : 13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.
Surah an Nuur : 14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang besar disebabkan kamu turut campur Dalam berita palsu itu; -
Surah an Nuur : 15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu Dengan lidah kamu, dan memperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.
Surah an Nuur : 16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar Yang mengejutkan".
Surah an Nuur : 17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan Yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang Yang beriman.
Surah an Nuur : 18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Surah an Nuur : 19. Sesungguhnya orang-orang Yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang Yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
Surah an Nuur : 20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab Dengan serta-merta).
Surah an Nuur : 21. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara Yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui
Surah an Nuur : 22. dan janganlah orang-orang Yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang Yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabila Rasulullah akan pergi bermusafir, undian akan dijalankan untuk menentukan siapakah di antara isterinya yang akan dibawa turut serta dalam perjalanan tersebut. Demikian juga keadaannya apabila hendak ke medan perang, perkara yang sama akan dilakukan. Pada suatu hari, selepas turunnya ayat hijab, Aisyah terundi untuk dibawa. Aisyah duduk di atas tandu yang mana tandu itu diletakkan di atas unta dan kemudiannya mereka berangkat.
Setelah selesai peperangan dan ketika hampir mendekati Madinah, Rasulullah memberi keizinan untuk berhenti sebentar pada waktu malam. Aisyah turun dan pergi buang air. Ketika sampai kembali ke tempatnya, Aisyah meraba dadanya dan ternyata kalungnya hilang sehingga dia pulang kembali ke tempat tadi untuk mencari kalung tersebut. Dia mencari kalung tersebut dengan begitu lama sehingga orang-orang yang memikul tandunya mengangkat kembali tandu tersebut ke atas unta yang dinaikinya. Mereka menyangka bahawa Aisyah berada di dalamnya kerana para wanita pada ketika itu badannya kecil dan langsing sehingga tidak terasa perbezaan di antara tandu kosong dengan yang berisi.
Aisyah menemui kalung tersebut setelah pasukan Rasulullah berangkat sehingga tidak tinggal seorang pun di situ. Aisyah duduk kembali di tempat berhenti tadi dengan harapan orang-orang akan menjemputnya atau mencarinya kembali. Ketika berada di situ Aisyah mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan, pada waktu itu lalu Shafwan bin al Muatthal yang ditinggalkan oleh pasukan Rasulullah kerana suatu halangan pada pagi hari itu ke tempat pemberhentian Aisyah dan dia melihat suatu benda hitam seperti bayangan manusia. Aisyah terbangun kerana Shafwan mengucap "Inna lillahi wa Inna ilaihi rajiun" dan Aisyah segera menutup mukanya dengan kain tudungnya. Tidak ada sepatah kata pun yang keluar dari mulut Aisyah serta dia tidak mendengar apa pun yang diucapkan oleh Shafwan kecuali "Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" tadi. Ketika itu unta yang dinaikinya disuruh berlutut agar Aisyah dapat naik ke atas unta tersebut dan dia menuntun unta itu sehingga sampai ke tempat pasukan yang sedang berteduh pada waktu tengah hari. Perkara itulah yang terjadi kepada Aisyah.
Maka celakalah kepada orang yang menuduhnya dengan fitnah yang dilancarkan oleh Abdullah bin Ubay.
Ketika sampai di Madinah Aisyah menderita sakit selama sebulan dan orang-orang menyebar fitnah yang dibuat oleh Abdullah bin Ubay bin Salul dengan begitu luas tetapi Aisyah sendiri tidak mengetahuinya.
Setelah merasa agak sembuh, Aisyah memaksa dirinya dengan dibimbing oleh Ummu Misthah pergi buang air. Ummu Misthah tergelincir dan melatah dengan ucapan "Celakalah anakku si Misthah." Aisyah bertanya: "Mengapa engkau berkata demikian, mencaci maki seorang yang ikut serta dalam perang Badar. "Ummu Misthah berkata: "Wahai junjunganku! Tidakkah engkau dengar apa yang dia katakan." Aisyah berkata: "Apakah yang dia katakan?" Lalu Ummu Misthah menceritakan fitnah yang telah tersebar sehingga bertambahlah penyakit Aisyah. Ketika Rasulullah datang kepadanya, dan baginda tidak seperti biasa memperlakukan dirinya [Tafsir at Thabari, juz 18, hal. 91] lalu Aisyah meminta izin untuk pergi berjurnpa dengan ibu bapanya untuk meyakinkan khabar yang tersebar itu. Maka Rasulullah mengizinkan.
Oleh itu, ketika sampai di rumah orang tuanya, Aisyah berkata kepada ibunya: "Wahai ibuku! Apakah yang mereka katakan tentang diriku?" Dia menjawab: "Wahai anakku! Demi Allah tabahkanlah hatimu! Sangatlah sedikit wanita yang cantik dan dicintai suaminya serta dimadu, pasti banyak yang menghasutnya." Aisyah berkata: "Subhanallah, apakah sampai demikian orang-orang mempercakapkan tentang diriku. Apakah perkara ini sampai kepada Rasulullah?"' Kemudian ibunya pun mengiakan. Maka dia menangis dari malam itu hingga ke pagi dan air matanya tak henti-henti mengalir.
Pada suatu hari Rasulullah memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membicarakan penceraian dengan isterinya kerana wahyu tidak turun.
Kemudian Usamah mengemukakan pendapatnya bahawa sepanjang pengetahuannya keluarga Rasul itu adalah orang baik. Dia berkata: "Ya Rasulullah, mereka itu adalah keluarga tuan dan kami mengetahui bahawa mereka itu adalah baik."
Adapun Ali berkata: "Allah selalu tidak menyempitkan tuan. Di samping itu masih banyak wanita selain daripadanya. Untuk itu sebaiknya tuan bertanya kepada Barirah pembantu rumah tangga Aisyah pasti dia akan menerangkan perkara yang benar."
Kemudian Rasulullah memanggil Barirah dan bertanya: "Wahai Barirah, apakah engkau melihat sesuatu yang meraguimu tentang Aisyah?" Dia menjawab: "Demi Allah yang telah mengutus tuan dengan hak, jika aku melihat daripadanya sesuatu perkara tentu tidak akan aku sembunyikan, tidak lebih dari itu dia adalah seorang yang masih muda, masih suka tertidur di samping tepung yang sedang diadun dan membiarkan ternakannya makan tepung itu kerana tertidur."
Maka Rasulullah berdiri di atas mimbar meminta bukti dari Abdullah bin Ubay bin Salul dengan berkata: "Wahai kaum Muslimin siapakah yang dapat menunjukkan orang yang telah menyakiti keluargaku, kerana demi Allah aku tidak mengetahui tentang isteriku kecuali kebaikan."
Sesungguhnya, pada ketika itu Aisyah sedang menangis seharian tanpa henti. Demikian juga pada malam harinya sehingga tidak tidur walaupun sekejap. Ibu bapanya mengira bahawa tangisannya itu akan membelah jantungnya.
Ketika kedua orang tua Aisyah mengawasinya menangis, datanglah seorang wanita Ansar meminta izin masuk dan Aisyah mengizinkannya serta duduklah dia menangis bersamanya.
Ketika itu datanglah Rasulullah memberi salam dan duduk serta membaca syahadat dan berkata: "Amma ba'du, hai Aisyah! Sesungguhnya telah sampai ke telingaku perkara-perkara mengenai dirimu. Sekiranya engkau bersih, maka Allah akan membersihkanmu dan jika engkau melakukan dosa, maka mintalah ampun kepada Allah. Sesungguhnya seseorang yang mengakui dosanya kemudian bertaubat, Allah akan menerima taubatnya."
Setelah baginda selesai berbicara berkatalah Aisyah kepada ayahnya: "Tolong jawab untukku wahai ayahku." Abu Bakar menjawab: "Apa yang aku mesti katakan?" Lalu Aisyah berkata ibunya: "Tolongjawab perkataan Rasulullah untukku wahai ibuku." Dia menjawab: "Demi Allah, apa yang mesti aku katakan?" Akhlrnya Aisyah pun menjawab: "Aku ini adalah wanita yang sangat muda. Demi Allah, Sesungguhnya aku tahu bahawa tuan telah mendengar sesuatu dan terasa di hati tuan sehingga tuan mempercayainya. Sekiranya aku katakan bahawa aku ini bersih, dan Allah mengetahui bahawa aku bersih, tuan tidak akan mempercayainya."
Perkara ini terjadi setelah sebulan lamanya wahyu tidak turun berkenaan dengan kisah Aisyah.
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Aisyah berkata: "Sekiranya aku mengakui bahawa aku melakukan sesuatu perbuatan, padahal Allah mengetahui bahawa aku suci dari perbuatan itu, pasti tuan akan mempercayai aku. Demi Allah, aku tidak mendapatkan sesuatu perumpamaan yang seiring dengan peristiwa kita kecuali apa yang diucapkan oleh ayah Nabi Yusuf: "Fa sabrun jamilun wallahul musta'anu'ala ma tashifun" (Surah Yusuf: 12:18). Setelah itu dia pun pindah dan berbaring di tempat tidurnya semula.
Selepas itu Rasulullah tetap tidak meninggalkan tempat duduknya dan tidak seorang pun dari isi rumah tersebut yang keluar. Kemudian Allah menurunkan wahyu kepada Nabinya dan tampak sekali Rasulullah kepayahan sebagaimana biasanya apabila menerima wahyu. Setelah selesai penurunan wahyu, kalimat pertama yang diucapkan oleh Rasulullah ialah: "Bergembiralah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah telah membersihkanmu." Maka berkatalah ibunya kepada Aisyah: "Bangun dan datanglah mengadap kepadanya." Aisyah berkata: "Demi Allah aku tidak akan bangun dan datang mengadap kepadanya serta tidak akan memuji syukur kecuali kepada Allah yang telah menurunkan ayat yang menyatakan kesucianku" (Surah an Nuur: 24:11-20).
Selepas kejadian itu, Abu Bakar yang biasanya memberi nafkah kepada Misthah kerana dia adalah kaum kerabat dan seorang yang fakir lalu berkata: "Demi Allah, aku tidak akan memberi nafkah lagi kepada Misthah kerana ucapannya tentang Aisyah." Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah an Nuur: 24: 22) sebagai teguran kepada orang yang bersumpah tidak akan memberi nafkah kepada kaum kerabat, fakir dan lain-lain kerana merasa hatinya disakiti oleh mereka.
Berkatalah Abu Bakar: "Demi Allah, sesungguhnya aku mengharapkan keampunan dari Allah."Kemudian dia terus memberi nafkah kepada Misthah seperti sediakala. (Diriwayatkan oleh as Syaikhani dan perawi lain dari Aisyah) (Diriwayatkan pula oleh at Thabarani dari Ibnu Abbas dan Ibnu Umar) (Diriwayatkan pula oleh al Bazzardari Abi Hurairah dan Ibnu Marduwaih dari Abi Yasar)
"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknati (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah an Nuur: 24: 23)
"Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan." (Surah an Nuur: 24: 24)
"Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, laginyata keadilanNya." (Surah an Nuur: 24: 25)
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang balk, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah an Nuur: 24: 26)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Khasif bertanya kepada Said bin Jubair: "Manakah yang lebih besar dosanya, zina atau menuduh orang berzina?" Said menjawab: "Zina." Khasif bertanya lagi: "Bukankah Allah telah berfirman di dalam ayat ini (Surah an Nuur: 24: 23) yang menjelaskan bahawa orang yang menuduh orang lain berzina akan dilaknati oleh Allah dunia dan akhirat. Said berkata: "Ayat ini diturunkan khusus berkenaan dengan kejadian Aisyah." (K. Diriwayatkan oleh at Thabarani dari Khasif. Di dalam sanadnya terdapat Yahya al Hamani yang daif)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah an Nuur: 24: 23) turun khusus berkenaan dengan isteri-isteri Nabi. (K. Diriwayatkan oleh at Thabarani dari ad Dlahhak bin Muzalim)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah an Nuur: 24:23) turun khusus berkenaan dengan peristiwa Aisyah. (K. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Aisyah dituduh dan beliau sendiri tidak mengetahuinya dan kemudiannya baru diketahui setelah ada yang menyampaikan adanya tuduhan itu.
Ketika Rasulullah berada di tempat Aisyah, turunlah wahyu sehingga baginda membetulkan duduknya serta menyapu mukanya. Setelah itu Rasulullah bersabda: "Hai Aisyah, bergembiralah engkau." Aisyah berkata: "Dengan memuji syukur kepada Allah dan bukan kepada tuan." Kemudian Rasulullah membacakan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 23-26). (K. Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah an Nuur: 24: 26) turun berhubung dengan peristiwa Aisyah yang dituduh oleh kaum munafik dengan tuduhan yang sengaja dibuat-buat dan dusta sehingga Allah membersihkannya dari tuduhan itu. (K. Diriwayatkan pula oleh at Thabarani dengan sanad rijalnya siqah (kuat-kuat) dari Abdur Rahman bin Zaid bin Aslam)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah an Nuur: 24: 26) turun berkenaan dengan tuduhan yang dibuat-buat kepada isteri Nabi s.a.w. (K. Diriwayatkan pula oleh at Thabarani dengan dua sanad yang keduanya daif dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang-orang membicarakan tentang fitnah yang ditujukan kepada Aisyah. Lalu Rasulullah mengirim utusan kepada Aisyah dan berkata: "Hai Aisyah, bagaimana pendapatmu tentang celoteh orang mengenai dirimu?" Aisyah menjawab: "Aku tidak akan memberikan kritikan apa-apa pun sehingga Allah menurunkan bantahan dari langit" Maka Allah menurunkan 16 ayat dari surah ini iaitu (Surah an Nuur: 24:11-26). Kemudian Rasulullah membaca ayat itu sampai kepada "Alkhabitsatu HI khabitsina" (Surah an Nuur: 24: 26). (Diriwayatkan oleh at Thabarani dari al Hakim bin Utaibah) (Hadis ini isnadnya sahih tetapi mursal)
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)." (Surah an Nuur: 24: 27)
"Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (Surah an Nuur: 24: 28)
"Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan. " (Surah an Nuur: 24: 29)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang wanita Ansar mengadu kepada Rasulullah s.a.w: "Ya Rasulullah! Apabila aku berada di rumahku dalam keadaan yang aku sendiri tidak ingin dilihat oleh orang lain, akan tetapi selalu sahaja ada lelaki dari keluargaku masuk ke dalam rumahku. Apakah yang harus ku lakukan?"
Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur; 24: 27) sebagai larangan kepada kaum Muslimin dari memasuki rumah orang lain sebelum meminta izin dan mengucapkan salam. (Diriwayatkan oleh al Faryabi dan Ibnu Jarir dari Adi bin Thabit)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turunnya ayat perintah meminta izin apabila hendak memasuki rumah orang lain, berkatalah Abu Bakar: "Ya Rasulullah! Bagaimana pedagang-pedagang Quraisy yang berulang-alik ke Mekah, Madinah, Syam dan mereka mempunyai rumah-rumah tertentu di jalan, apakah mereka mesti meminta izin dan memberi salam dahulu padahal tidak ada penghuninya?" Maka turunlah ayat yang berikutnya (Surah an Nuur: 24: 29) yang membolehkan kaum Mukminin memasuki rumah yang disediakan bukan untuk tempat tinggal akan tetapi untuk keperluan tertentu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Muqatil bin Hibban)
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan teher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an Nuur: 24: 31)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Asma binti Murtsid seorang pemilik kebun kurma sering dikunjungi oleh wanita-wanita yang bermain-main di kebunnya tanpa memakai kain yang labuh sehingga kelihatan gelang-gelang kaki mereka, demikian juga dada dan sanggul mereka. Kemudian Asma berkata: "Alangkah buruknya pemandangan ini." Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 31) sehingga "auratinnisa’" berhubung dengan peristiwa tersebut. Ayat ini turun sebagai perintah kepada kaum Mukminat untuk menutup aurat mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Muqatil dari Jabir bin Abdillah)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa seorang wanita membuat dua gelang kaki Perak yang disalut dengan untaian batu-batu permata sebagai perhiasan kakinya. Apabila dia lalu di hadapan segolongan manusia, dia akan memukul-mukulkan kakinya sehingga dua gelang kakinya bersuara beradu. Maka turunlah ayat yang berikutnya "Wala yadhribna bi arjulihinna" hingga akhirnya dari ayat ini (Surah an Nuur: 24: 31) sebagai larangan kepada kaum wanita dari menggerakkan anggota tubuhnya untuk mendapatkan perhatian lelaki. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarirdari Hadhrami)
"Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an Nuur: 24: 33)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Shubaih hamba sahaya kepada Huwaitib bin Abdul Uzza meminta untuk dimerdekakan dengan satu perjanjian tertentu. Akan tetapi permohonannya ditolak. Maka turunlah ayat di atas sebagai perintah untuk mengabulkan permintaan hamba sahaya yang ingin merdeka dengan perjanjian tertentu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Sakan dalam kitab Makhfatis Sahabah dari Abdulalh bin Shubaih dari bapanya)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Abdullah bin Ubay menyuruh hamba sahaya wanita kepunyaannya melacur dan meminta bahagian daripada hasilnya. Maka turunlah sambungan dari ayat ini (Surah an Nuur: 24: 33) sebagai larangan memaksa hamba sahaya wanita melacurkan diri untuk mengambil keuntungan. (Diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Sufyan dari Jabir bin Abdillah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa nama hamba sahaya wanita Abdullah bin Ubay itu ialah Masikah dan Aminah. Kedua-dua mereka mengadu kepada Rasulullah kerana dipaksa melacur, Maka penurunan ayat ini (Surah an Nuur: 24:33) adalah berkentin dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Sufyan dari Jabir bin Abdillah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Masikah itu hamba wanita seorang Ansar mengadu kepada Rasulullah bahawa dia dipaksa oleh tuannya untuk melacur. Maka ayat ini (Surah an Nuur; 24: 33) turun berkenaan dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh al Hakim dari Abi Zubairdari Jabir)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Abdullah bin Ubay mempunyai seorang hamba perempuan yang disuruh melacur sejak pada zaman jahiliyah. Ketika diharamkan zina, hamba tersebut tidak mahu lagi untuk melakukannya. Ayat ini (Surah an Nuur: 24: 33) turun berhubung dengan peristiwa tersebut sebagai larangan untuk memaksa hamba wanita melacur. (Diriwayatkan oleh al Bazzar dan at Thabarani dengan sanad yang sahih dari Ibnu Abbas) (Diriwayatkan pula oleh al Bazzar dengan sanad yang daif dari Anas dengan tambahan bahawa nama hamba itu ialah Muadzah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa Abdullah bin Ubay mempunyai dua hamba perempuan iaitu Muadzah dan Masikah yang dipaksa untuk melacurkan diri. Berkatalah salah seorang dari hamba itu: "Sekiranya perbuatan itu baik, engkau telah memperolehi hasil yang banyak dari perbuatan itu. Akan tetapi sekiranya perbuatan itu tidak baik, sudah sepantasnya aku meninggalkannya." Maka ayat ini (Surah an Nuur: 24: 33) turun berkenaan dengan peristiwa tersebut. (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dari Syaaban dari Amr bin Dinar dari Ikrimah)
dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka Dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (Menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka). (Surah an Nuur: 24: 48)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa apabila seseorang bertengkar dengan seseorang yang lain dan dia merasa bahawa dirinya berada pada pihak yang benar, lalu dia akan minta diadili oleh Nabi. Ini kerana dia tahu bahawa Nabi akan mengadilinya dengan hak. Akan tetapi apabila dia bertengkar dan bermaksud untuk membuat kezaliman, dia akan menolak untuk diadili oleh Nabi dan mengajak untuk diadili oleh orang lain. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 48) berhubung dengan peristiwa di atas. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Hasan, tetapi mursal)
Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka. (Surah an Nuur: 24: 55)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah bersama para sahabatnya dari Mekah sampai ke Madinah dan disambut serta dijamin keperluan hidupnya oleh kaum Ansar, mereka tidak melepaskan senjata baik siang atau malam kerana selalu diancam oleh kaum kafir Madinah. Mereka berkata kepada Nabi: "Bilakah tuan dapat melihat kami hidup aman dan tenteram tidak takut kecuali Allah." Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24:55) berkenaan dengan peristiwa tersebut sebagai jaminan dari Allah bahawa mereka akan dianugerahi kekuasaan di muka bumi ini. (Diriwayatkan oleh al Hakim dan at Thabarani dari Ubay bin Kaab) (Menurut al Hakim had is ini sahih)
Surah an Nur:61 tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang Yang tersebut turut sama) makan di Rumah kamu sendiri, atau di Rumah bapa kamu, atau di Rumah ibu kamu, atau di Rumah saudara kamu Yang lelaki, atau di Rumah saudara kamu Yang perempuan, atau di Rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di Rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di Rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di Rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di Rumah Yang kamu kuasai kuncinya, atau di Rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa Yang seperti) kamu Dengan memohon kepada Allah cara hidup Yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa orang-orang pada ketika itu apabila berkunjung ke rumah bapanya, rumah saudaranya, rumah bapa saudaranya atau rumah saudara ibunya akan membawa bersama-sama mereka orang buta, tempang dan sakit. Orang-orang yang diajaknya itu merasa keberatan dengan berkata: "Mereka membawa kamu ke rumah orang lain." Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24:61) sebagai kelonggaran bagi mereka untuk makan di rumah orang lain. (Diriwayatkan oleh Abdul Razak dari Ma'mar dari Ibnu Abi Najih dari Mujahid)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat "ya ayyuhal ladzina amanu la ta'kulu amwalakum bainakum bit bathili" sehingga penghujung ayat ini (Surah an Nisaa': 4: 29) [Ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesamamu dengan jalan yang bathil kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku, dengan suka sama suka di antara kamu dan janganlah membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu] kaum Muslimin menghentikan makan di tempat orang lain, sedangkan mereka tahu bahawa menjamu makan itu adalah cara untuk memanfaatkan harta yang paling utama. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) sebagai memberi kelonggaran untuk memakan makanan yang disediakan untuk mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang-orang Madinah sejak sebelum Nabi diutuskan sebagai Rasul tidak suka makan bersama-sama dengan orang buta, orang sakit atau orang tempang. Ini kerana bagi mereka, orang buta tidak akan dapat melihat makanan yang enak dan makanan orang yang sakit tidak sama dengan makanan orang yang sihat serta orang yang tempang tidak dapat berebut makanan. Maka penurunan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) adalah untuk mengubah adat kebiasaan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari ad Dlahhak)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa orang-orang Madinah tidak suka makan bersama-sama dengan orang buta atau orang tempang. Maka ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) turun berkenaan dengan peristiwa di atas untuk mengubah adat kebiasaan mereka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Muqsin)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika al Harts mengikut Rasulullah pergi berjihad, dia meminta Khalid bin Zaid untuk menjaga keluarganya. Akan tetapi Khalid merasa keberatan untuk makan di rumah Harts kerana dia sangat berhati-hati takut melanggar hukum Allah. Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) sebagai kebenaran untuk makan makanan yang disediakan untuknya. (Diriwayatkan oleh at Tha'labi di dalam tafsirnya dari Ibnu Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa apabila kaum Muslimin berangkat mengikut Rasulullah pergi berjihad, mereka akan menyerahkan kunci-kunci rumah kepada orang-orang cacat dan menghalalkan mereka untuk makan apa yang mereka inginkan. Lalu mereka berkata: "Sebenarnya tidak halal bagikita makan makanan mereka kerana mereka memberi keizinan kepada kita tidak dengan kerelaan hati." Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) untuk memberi kelonggaran kepada mereka untuk makan di rumah orang yang memberi keizinan kepada mereka dengan menyerahkan kunci rumahnya. (Diriwayatkan oleh al Bazzar dengan sanad yang sahih dari Aisyah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa az Zuhri telah ditanya mengenai maksud perkataan orang buta, orang tempang dan orang sakit di dalam ayat ini (Surah an Nuur: 24:61). Lalu dia menjawab: "Aku telah menerima hadis dari Abdullah bin Abdillah yang berkata bahawa kaum Muslimin apabila berangkat untuk berjihad, mereka akan menyerahkan kunci-kunci rumah mereka kepada orang-orang cacat untuk menjaga rumah-rumah itu serta menghalalkan untuk makan apa sahaja makanan yang ada di rumah itu. Akan tetapi mereka yang diberi amanah merasa enggan, sekali pun untuk masuk ke dalam rumah itu."
Maka penurunan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) adalah sebagai penjelasan bahawa mereka dibolehkan untuk masuk ke dalam rumah itu dan makan setelah mengucapkan salam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari az Zuhri)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat "laisa alaikum junahun an ta'kulu jami'an au asytatan" turun berkenaan dengan segolongan bangsa Arab yang tidak suka makan sendirian sehingga kadang-kadang makanan itu dibawa ke merata tempat untuk mendapatkan orang untuk menemani dirinya makan.
Maka penurunan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) adalah sebagai kebenaran untuk mereka makan bersama-sama dengan orang lain ataupun seorang diri. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Qatadah)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa apabila datang tetamu ke rumah kaum Ansar, mereka tidak akan makan kecuali bersama tetamunya. Maka ayat ini (Surah an Nuur: 24: 61) turun sebagai kelonggaran untuk mereka makan bersama atau sendirian. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ikrimah dari Abi Salteh)
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an Nuur: 24: 62)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika orang-orang Quraisy menuju ke Madinah dalam peperangan al Ahzab, mereka dipimpin oleh Abu Sufyan berkubu di dataran rendah di pinggiran kota Madinah. Manakala pasukan dari Ghatfan berkubu di Na'ma di tepi gunung Uhud. Kemudian berita ini sampai kepada Rasulullah sehingga baginda memerintahkan agar dibuat khandak (parit) di sekeliling Madinah, bahkan baginda sendiri menyingsingkan lengan bajunya bekerjasama dengan kaum Muslimin. Akan tetapi kaum munafik melambatkan pekerjaan tersebut dengan memilih pekerjaan yang ringan sahaja dan mereka secara diam-diam meninggalkan pekerjaannya tanpa pengetahuan dan izin dari Rasulullah untuk melawat keluarga mereka. Sementara itu, apabila kaum Muslimin terpaksa meninggalkan pekerjaan itu kerana keperluan yang tidak dapat ditangguhkan lagi, mereka akan berterus-terang dengan Rasulullah serta meminta keizinan darinya. Maka Rasulullah pun memberi keizinan. Apabila telah selesai melakukan kepentingan tersebut, mereka segera kembali untuk menyambung tugas tadi.
Maka penurunan ayat ini (Surah an Nuur: 24: 62) adalah berhubung dengan peristiwa tersebut sebagai penjelasan perbezaan di antara kaum mukminin dengan munafikin. (Diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dan al Baihaqi di dalam kitab ad Dalail dari Urwah dan Muhammad bin Kaab al Qurazi dan perawi lainnya)
janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu Yang menarik diri ke luar (dari majlis nabi) secara berselindung dan bersembunyi. oleh itu, hendaklah mereka Yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa Yang tidak terperi sakitnya. (Surah an Nuur: 24: 63)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa pada ketika itu orang memanggil Rasulullah dengan ucapan: "Ya Muhammad, ya Abal Qasim." Maka turunlah ayat ini (Surah an Nuur: 24: 63) sebagai larangan kepada kaum Muslimin dari memanggil nama kepada Nabi Muhammad. Setelah penurunan ayat ini kaum Muslimin memanggil Nabi dengan panggilan "Ya Nabiyallah, ya Rasulullah." (Diriwayatkan oleh Abu Nairn di dalam kitab ad Dalail dari ad Dlahhaq dari Ibnu Abbas)
No comments:
Post a Comment